Saturday, April 11, 2009

Potret pemimpin..

Assalamualaikum & salam perpaduan.

Sejak YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) Ke-6 pada 3 April yang lalu, Pejabat kami menerima banyak panggilan telefon bertanyakan mengenai potret PM Malaysia yang terbaru itu.

Tidak kurang juga ada yang bertandang sendiri ke Pejabat bertanyakan hal yang sama. Mereka yang menelefon atau yang datang bukan hanya dari jabatan-jabatan kerajaan. Ada juga dari agensi atau syarikat-syarikat swasta. Malah, individu atau orang persendirian yang ingin mengambil potret PM yang disayangi itu turut berkunjung ke Pejabat kami.

Kami sempat juga bertanya kepada beberapa individu yang inginkan potret tersebut. Kata mereka, tujuan mereka inginkan potret tersebut adalah kerana mahu menggantungnya di rumah masing-masing, sebagaimana mereka lakukan terhadap potret-potret pemimpin terdahulu.

Jelaslah, bahawa sebenarnya rakyat memang menyayangi pemimpin negara. Kami percaya, potret-potret ini bukan sekadar digantung di dinding rumah, malah sebagai satu simbol kesetiaan, di samping sebagai satu bentuk penghargaan terhadap pemimpin negara yang akan dapat dihayati oleh seluruh penghuni rumah tersebut.

Memang sesuatu yang cukup membanggakan.

Buat masa ini, potret Dato' Seri Najib masing belum diedarkan oleh PPD Kemaman. Namun, harapan kami agar potret Mantan PM Ke-5, Ke-4 atau yang terdahulu disimpan baik sebagai satu 'khazanah' dalam mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu. Selain menjadi koleksi kenang-kenangan.

Begitulah putarannya, pemimpin berjasa silih berganti. Bagi rakyat mereka tetap di hati.

Thursday, April 9, 2009

Kabinet baru, Menteri baru, Kementerian baru!

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas mengumumkan barisan Kabinet barunya.
(Foto: Bernama)


Pada hari Khamis 9 April 2009, jam 3 petang, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan barisan kabinet baru di bawah pimpinan beliau.

Kabinet baru yang dinamakan sebagai Kabinet Rakyat ini menampilkan tujuh muka baru, dengan lapan menteri sedia ada digugurkan selain dari pembentukannya yang lebih kecil, iaitu dengan hanya 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Turut diumumkan adalah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Laporan penuhnya boleh anda baca menerusi laman web Bernama dengan klik di sini.

Serentak dengan pengumuman barisan Kabinet Malaysia yang baru itu juga, kami di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dengan rasa yang cukup berbesar hati mengucapkan Selamat Datang kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kini menjadi Menteri kami.

Bahkan, Kementerian Penerangan juga kini menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, satu kementerian yang disatukan dengan sebahagian dari Kementerian Tenaga, Air & Komunikasi dan juga Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Semoga dengan perlantikan beliau sebagai Menteri baru di bawah kementerian yang juga boleh dianggap sebagai baru dapat memantapkan lagi fungsi Jabatan Penerangan sebagai sebuah jabatan yang masih lagi relevan terhadap rakyat terutamanya serta Kerajaan Persekutuan.

Kami juga mengalungkan jutaan Terima Kasih kami yang tidak terhingga kepada YB Datuk Ahmad Shabery Cheek yang kini dilantik menjadi menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan YB Datuk amatlah bermakna buat kami warga Kementerian, khususnya dalam memertabatkan imej setiap agensi di bawah Kementerian Penerangan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Jasa YB Datuk akan kami kenang dan semoga YB Datuk akan terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Dan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk warga Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. Ayuh kita sama-sama bekerja keras menyahut cabaran YAB Perdana Menteri dalam mengembalikan keyakinan Rakyat bagi mengharungi kemelut ekonomi serta cabaran globalisasi dan seterusnya membentuk SATU MALAYSIA!!!!!!

Wednesday, April 8, 2009

Mari kita pergi ke Zoo!!!!

Harimau Putih antara tarikan di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman.


Ya, Daerah Kemaman kini mempunyai sebuah zoo!!


Menarik bukan? Sudah tentulah menarik! Kerana zoo yang diberi nama Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman adalah merupakan sebuah zoo yang terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


Lokasi Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini terletak di Kg Ibok iaitu 14 kilometer dari Bandar Chukai dan akan dirasmikan oleh YAB Dato' Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu pada 11 April 2009 dan mula dibuka kepada umum pada 12 April 2009.


Antara tarikan yang bakal menggamit tumpuan pengunjung adalah harimau putih dan burung cenderawasih.


Insya Allah, kami akan paparkan gambar-gambar kunjungi kami ke zoo tersebut nanti.


Untuk maklumat lebih lanjut, klik di sini.

Tuesday, April 7, 2009

Salam dari Kemaman!


Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman bersama
Ketua Pengarah Penerangan Malaysia
pada Disember 2008. Berdiri dari kiri; Puan Fadzillah Hj Mohamad, Mohd Faizul Effendy Abd Rahman, En. Yahya Mamat (Pegawai JASA), En. Azmi Mat Jusoh, En. Abu Bakar Abdullah, En. M. Asyraf Mustafa, En. Mawari Mohamad (Kakitangan JASA) & Puan Aneta Ahmad. Duduk dari kiri; Tuan Haji Mohd Nasir Hj Salleh (Pengarah Penerangan Negeri Kelantan), Dato' Abdullah Morad (Ketua Pengarah Penerangan Malaysia) & Puan Hajah Halimaton Hamza (Pengarah Penerangan Negeri Terengganu).


Assalamualaikum dan salam perpaduan..

Alhamdullillah, ini adalah merupakan entri yang pertama di blog rasmi pertama Pejabat Penerangan Daerah Kemaman. Mungkin agak terlewat, tetapi bak kata pepatah Inggeris, better late than never, maka adalah tidak terlewat bagi kami untuk menyampaikan segala macam aktiviti, isu setempat mahupun sebarang informasi-informasi terkini yang berlaku di dalam daerah Kemaman mahupun di mana-mana kawasan yang berada di sekitarnya menerusi blog ini.

Juga, sinonim dengan perlantikan YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-6, kami dengan berbesar hati juga melancarkan blog ini, sebagai satu langkah baru Pejabat Penerangan Daerah Kemaman ke arah mencapai matlamat pendekatan menyeluruh terhadap semua lapisan masyarakat, khususnya mereka yang berada di luar daerah Kemaman dan Negeri Terengganu Darul Iman.

Sedikit mengenai Pejabat Penerangan Daerah Kemaman sebagai info untuk anda semua.


Pejabat Penerangan Daerah Kemaman terletak dalam kawasan Parlimen Kemaman P.40 dan DUN Chukai N.31. Lokasinya terletak di Jalan Taha dan bersebelahan dengan Pejabat Ukur Daerah Kemaman.

Bangunan pejabat ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Mohamed Rahmat, Menteri Penerangan Malaysia pada 19 November 1978.

Pejabat ini menempatkan seorang Pegawai Penerangan Daerah (Pn. Fadzillah Hj Mohamad), seorang Penolong Pegawai Penerangan (Pn. Aneta Ahmad), seorang Pembantu Penerangan (En. Mohd Faizul Effendy Abd Rahman, tiga orang Juru Audio Visual (En. Azmi Mat Jusoh, En. M. Asyraf Mustafa & En. Wan M. Sahli Azri Wan Salim) dan seorang Pembantu Am Pejabat (En. Abu Bakar Abdullah).

Pejabat ini mempunyai dua kenderaan (unit bergerak) bagi melaksanakan aktiviti alat siaraya dan hebahan umum serta pengedaran bahan-bahan penerbitan jabatan dan kerajaan negeri.

Pejabat Penerangan Kemaman turut menyediakan perkhidmatan juru acara dan penceramah bagi program rasmi dan tidak rasmi anjuran jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi lain di daerah ini.

Alamat Pejabat Penerangan Daerah Kemaman adalah Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, 24000 Chukai, Kemaman, Terengganu Darul Iman. Manakala nombor telefon dan faksnya adalah 09-8591444.


Insya Allah, dari masa ke semasa, laman blog ini akan dikemaskini mengikut perkembangan semasa serta aktiviti yang dilaksanakan, disertai mahupun dianjurkan oleh Pejabat ini, bermula April 2009.


Dan yang pasti, diharapkan agar anda semua dapat melanggani blog ini dan seterusnya sentiasa 'melekat' bagi mengikuti perkembangannya.


Terima kasih.