Thursday, April 9, 2009

Kabinet baru, Menteri baru, Kementerian baru!

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas mengumumkan barisan Kabinet barunya.
(Foto: Bernama)


Pada hari Khamis 9 April 2009, jam 3 petang, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan barisan kabinet baru di bawah pimpinan beliau.

Kabinet baru yang dinamakan sebagai Kabinet Rakyat ini menampilkan tujuh muka baru, dengan lapan menteri sedia ada digugurkan selain dari pembentukannya yang lebih kecil, iaitu dengan hanya 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Turut diumumkan adalah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Laporan penuhnya boleh anda baca menerusi laman web Bernama dengan klik di sini.

Serentak dengan pengumuman barisan Kabinet Malaysia yang baru itu juga, kami di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dengan rasa yang cukup berbesar hati mengucapkan Selamat Datang kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kini menjadi Menteri kami.

Bahkan, Kementerian Penerangan juga kini menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, satu kementerian yang disatukan dengan sebahagian dari Kementerian Tenaga, Air & Komunikasi dan juga Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Semoga dengan perlantikan beliau sebagai Menteri baru di bawah kementerian yang juga boleh dianggap sebagai baru dapat memantapkan lagi fungsi Jabatan Penerangan sebagai sebuah jabatan yang masih lagi relevan terhadap rakyat terutamanya serta Kerajaan Persekutuan.

Kami juga mengalungkan jutaan Terima Kasih kami yang tidak terhingga kepada YB Datuk Ahmad Shabery Cheek yang kini dilantik menjadi menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan YB Datuk amatlah bermakna buat kami warga Kementerian, khususnya dalam memertabatkan imej setiap agensi di bawah Kementerian Penerangan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Jasa YB Datuk akan kami kenang dan semoga YB Datuk akan terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Dan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk warga Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. Ayuh kita sama-sama bekerja keras menyahut cabaran YAB Perdana Menteri dalam mengembalikan keyakinan Rakyat bagi mengharungi kemelut ekonomi serta cabaran globalisasi dan seterusnya membentuk SATU MALAYSIA!!!!!!

No comments:

Post a Comment